Friday, May 22, 2015

Istighfar

Istighfar

Di antara jenis zikir-zikir yang mengandungi kebaikan dan keberkatan, dan menarik pahala dan ganjaran, ialah istighfar kepada Allah Ta'ala, dan berselawat ke atas Nabi pilihan, serta berdoa.Mengenai istighfar, Allah s.w.t. telah berfirman mengutarakan keutamaannya:

"Dan tiadalah Tuhan akan menyiksa mereka, sedang engkau berada di antara mereka. Dan tiadalah Tuhan hendak menyiksa mereka, selama mereka beristighfar (memohon ampun)."

FirmanNya lagi:
(al-Anfal: 33)

"Dan mohonkanlah keampunan kepada Tuhan kamu, dan kembalilah kepadaNya, niscaya Dia akan mengurniakan pemberian yang baik kepada kamu hingga ke waktu yang ditentukan."
(Hud: 3)
Berfirman Allah Ta'ala lagi pada memberitakan tentang Nabi- Nya, Nuh alaihis-salam:

"Kukatakan kepada mereka: Mohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Akan dikirimkan kepada kamu awan yang menurunkan hujan. Ditambahkan bagi kamu harta kekayaan, anak-pinak, dan dijadikan bagi kamu taman-taman dan sungai-sungai."


FirmanNya lagi:


"Barangsiapa yang mengerjakan kejahatan, atau menganiaya dirinya, kemudian ia memohon ampun kepada Allah, niscaya ia akan mendapati Tuhan itu Maha Pengampun Maha Pengasihani."
(an-Nisa': 110)

Bersabda Rasulullah s.a.w.:

"Siapa yang membiasakan dirinya beristighfar, niscaya Allah akan melapangkan dirinya dari segala kesusahan, dan akan melepaskannya dari segala kesukaran, dan akan memberinya rezeki tanpa bisa dikira."

Sabdanya lagi:

"Berbahagialah orang yang mencatit istighfar yang banyak di dalam buku catitannya."

Sabdanya lagi:

"Siapa yang mengucap Astaghfirullah setiap hari tujuhpuluh kali, niscaya Allah akan menghapuskan daripadanya sebanyak tujuhratus dosa. Alangkah kecewanya lelaki atau perempuan yang membuat dosa pada sehari semalam lebih banyak dari tujuhratus dosa."

Sabdanya lagi:

"Demi Allah, aku sentiasa beristighfar kepada Allah dan bertaubat kepadaNya pada setiap hari lebih dari tujuhpuluh kali."

Sabdanya lagi:

"Mahukah kamu, aku beritahukan tentang penyakit kamu dan penawarnya? Ingatlah, bahwasanya penyakit kamu itu ialah dosa, dan penawarnya ialah istighfar (mohon keampunan kepada Allah Ta'ala)."

Sabdanya lagi:

"Berkata syaitan: Demi kemuliaan dan kebesaran Engkau, wahai Tuhan! Aku tidak akan berhenti sejenak pun dari menggoda hamba-hambaMu, selagi nyawa mereka dikandung badan. Berfirman Allah Ta'ala: Demi kemuliaan dan kebesaranKu, Aku akan terus mengampuni mereka selagi mereka memohon ampun kepadaKu."

Berkata Abdullah bin Umar r.a.: Kami pernah mengirakan untuk Rasulullah s.a.w. dalam suatu majlis sebanyak seratus kali dari ucapan:

"Tuhanku, ampunilah aku dan terimalah taubatku, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi taubat, Maha Pengasihani."

Oleh itu, hendaklah anda memperbanyak ucapan zikir yang diberkati ini, sebagaimana yang dipandang mulia oleh baginda s.a.w. sendiri. Moga-moga Allah mendorongmu kepadanya dan merahmatimu.

Ada suatu berita yang sampai kepada kami, bahwasanya ada seorang saleh telah bermimpi berjumpa dengan Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah, sesudah wafatnya, maka beliau telah berkata kepada orang saleh itu, bahwa Allah Ta'ala telah memberikannya manfaat yang banyak dari beberapa kalimat (zikir) yang didengar-nya dari Sufyan as-Tsauri rahimahullah, iaitu:

"Allaahumma Ya Rabba Kulli Syai, Bi-qudratika 'Alaa Kulli Syai, Ighfirlii Kulla Syai, Walaa Tas-alni 'an Syai. (Ya Allah! Ya Tuhanku! Tuhannya segala sesuatu, dengan kudratMu atas segala sesuatu, ampunilah aku dari segala sesuatu, dan janganlah menanyakanku dari segala sesuatu."


Terhadap zikir ini juga, hendaklah anda memperbanyak ucapannya.
Tersebut di dalam suatu atsar seruan ini: Siapa yang beristighfar untuk kaum Mu'minin dan Mu'minat setiap hari duapuluh tujuh kali, niscaya ia terhitung di antara hamba-hamba Allah yang dengan sebabnya, semua makhluk akan mendapat rahmat dari Allah Ta'ala, dengan sebabnya juga mereka akan dituruni hujan dan diberi rezeki.
Inilah yang dikatakan sifat-sifat Wali Abdaal; iaitu orang-orang yang dimuliakan Allah Ta'ala dari para hamba-hambaNya yang saleh.

Saturday, May 9, 2015

Keutamaan berkumpul untuk berzikir

Keutamaan berkumpul untuk berzikir

Jika zikir itu diadakan di dalam suatu majlis yang ramai, maka yang demikian itu memang dituntut dan dianjurkan. Tetapi syaratnya sama seperti yang disebutkan di atas tadi. Mestilah disertai ikhlas sepenuhnya kepada Allah Ta'ala, tiada riya', tiada mengganggu orang-orang yang sedang bersembahyang, atau yang sedang membaca al-Quran di sebelah-menyebelah.Di dalam hal ini terdapat banyak Hadis, di antaranya ialah sabda Rasulullah s.a.w.:

"Tiada suatu perkumpulan yang berkumpul di rumah-rumah Allah (masjid-masjid), mereka berzikir kepada Allah Ta'ala dengan mengharapkan keredhaan Allah Ta'ala, melainkan Allah akan mengampunkan segala dosa mereka, dan akan mengubah semua kejahatan mereka menjadi kebaikan."

Sabdanya lagi:

"Tiada sesuatu kaum yang duduk bersama-sama berzikir kepada Allah Ta'ala, melainkan para Malaikat mengelilingi mereka sedang rahmat meliputi mereka, dan ketenangan turun ke atas mereka. Manakala Allah pula menyebut mereka itu kepada sesiapa yang berada di sisiNya."

Sabda baginda lagi:

"Jika kamu melintas pada taman-taman syorga, maka hendaklah kamu berihat. Para sahabat bertanya: Apakah itu taman-taman syorga? Jawab baginda: Kumpulan-kumpulan orang yang berzikir."

Pada riwayat lain, iaitu: Majlis-majlis zikir.
Ada sebuah Hadis yang panjang yang membicarakan tentang majlis-majlis zikir ini. Hadis itu bermula begini: Allah Ta'ala sentiasa mengirim para MalaikatNya yang mengelilingi bumi untuk mengunjungi majlis-majlis zikir. Seterusnya Hadis itu berakhir dengan bunyinya bagini: maka berkata Allah kepada para MalaikatNya: Saksikanlah bahwa Aku telah mengampuni mereka itu (para ahli zikir), dan Aku telah memberikan mereka apa yang mereka pohonkan, dan Aku telah melindungi mereka dari apa yang mereka pohon perlindungan. Sampuk para Malaikat: Di kumpulan itu ada si fulan dan si fulan yang banyak dosanya, ia cuma hampir dan duduk bersama pada ahli zikir itu. Maka Allah menjawab: Mereka itu suatu kumpulan yang tiada seorang pun yang akan celaka bersama mereka. Hadis ini sudah termasyhur.

Berzikir secara batin dan lahir

Berzikir secara batin dan lahir

Jika anda berzikir kepada Allah Ta'ala dalam batinmu, sehingga yang bisa mendengar hanya dirimu saja, maka itulah yang sebaik-baiknya. Sebab Rasulullah s.a.w. pemah bersabda:

"Sebaik-baik zikir ialah yang dirahasiakan (dalam batin), dan sebaik-baik rezeki ialah yang mencukupi."

Di dalam al-Quran, Allah telah berfirman:

"Berzikirlah (ingatlah) kepada Tuhanmu dalam hatimu dengan rendah hati dan perasaan takut." (al-A'raf: 205)


Jika anda ingin berzikir dengan suara keras, tiadalah salah malah memang dituntut dan dianjurkan. Tetapi hendaklah ia disertai ikhlas semata-mata kerana Allah Ta'ala dan tidak riya'. Juga suara zikir anda itu tidak pula mengganggu orang yang sedang bersembah- yang di sebelah-menyebelah, ataupun orang yang sedang membaca al-Quran, sehingga mengelirukan mereka di dalam ibadat mereka.

Adab berzikir

Adab berzikir

Ketahuilah, moga-moga Allah merahmati kamu, bahwasanya zikir itu mempunyai beberapa tertib, dan bahwasanya menghadirkan hati ketika lisan sedang berzikir itu, adalah salah satu tertib zikir yang terpenting dan yang dituntut. Hendaklah anda memelihara tertib ini sebaik-baiknya, kerana orang yang berzikir itu tidak akan mencapai sesuatu faedah dari faedah-faedah zikir dan tujuannya yang utama, melainkan dengan menghadirkan diri.

Di antara tertib berzikir, hendaklah orang yang berzikir kepada Allah Ta'ala itu sempurna tertib dan baik sikapnya lahir dan batin. Hendaklah ia bersuci terlebih dahulu dan berkeadaan bersih. Hendaklah khusyu' kepada Allah Ta'ala ketika berzikir, sentiasa mengingat kebesaranNya, menghadap ke kiblat, menundukkan kepala, bertenang semua anggotanya seperti di dalam sembahyang.Juga dituntut dari seorang hamba itu, sentiasa berzikir kepada Allah Ta'ala pada semua hal dan keadaannya, dan pada setiap waktunya.

Cubakanlah dirimu mencontohi tertib-tertib yang kami sebutkan di atas tadi, seperti bersuci terlebih dahulu, menghadap ke kiblat dan sebagainya pada setiap kali berzikir, sebagaimana ke- adaanya orang-orang yang berkhalwat dan yang menyingkirkan diri kepada Allah Ta'ala. Jika tidak bisa bertertib seperti itu sebagaimana halnya kebanyakan orang pada masa ini, maka seharusnyalah ia menentukan suatu masa untuk ia duduk berzikir melengkapkan diri dengan tertib-tertib yang tersebut itu, ataupun sebagainya dari tertib-tertib lain yang tidak kami sebutkan di sini. Kemudian pada masa-masa selain masa ini, hendaklah ia meneruskan zikirnya dengan cara yang biasa, samada ketika berdiri, duduk, atau terlentang tanpa batas atau syarat, sebagaimana firman Allah Ta'ala:

"Maka berzikirlah kepada Allah dalam keadaan berdiri, duduk, dan sedang terlentang." (an-Nisa': 103)

Friday, May 8, 2015

Kelaziman para sufi berzikir

Kelaziman para sufi berzikir

Sekumpulan dari ahli tariqat tasawuf lebih suka memilih berzikir dengan mengangkat suara dan berkumpul beramai-ramai untuk tujuan berzikir itu. Cara-caranya sudah terkenal pada orang ramai. Yang lain pula lebih suka berzikir secara rahasia tanpa mengangkat suara samasekali. Kedua-dua cara ini baik dan direstui Allah s.w.t. Allah merahmati mereka sekalian dan memberikan kita manfaat dengan mereka.

Sebenarnya ahli-ahli tariqat tasawuf ini, tiada memandang sesuatu lebih berharga daripada berzikir kepada Allah s.w.t. Dengan berzikirlah mereka memohon pertolongan dari Allah Ta'ala. Sesudah mendirikan segala yang fardhu dan menjauhi segala yang haram, mereka tiada mempunyai kerja lain melainkan berzikir kepada s.w.t. semata-mata. Mereka juga menganjurkan setiap murid dan penuntut supaya mencontohi perjalanan mereka, sambil mengambil janji untuk berzikir dan melazimkan zikir kepada Allah s.w.t. dengan menjunjung syarat-syarat dan tertib-tertib dalam menjalankan zikir itu.

Kelebihan zikir-zikir yang lain

Kelebihan zikir-zikir yang lain

Sesudah zikir yang tersebut di atas, maka zikir yang paling utama dan yang terkemuka ialah:

"Subhaanallah Walhamdulillah Walaa Ilaaha Illallah Wallahu Akbar (Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah tiada Tuhan melainkan Allah, dan Allah Maha Besar)."

Di dalam suatu riwayat dari Rasulullah s.a.w. mengenai zikir di atas, bahwa baginda mengatakan: Sesungguhnya ia (zikir di atas itu) adalah sebaik-baik ucapan dan yang paling dicintai Allah Ta'ala.

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi:

"Kiranya mengucap: Subhaanallah Walhamdulillah Walaa Ilaaha Illallah Wallaahu Akbar adalah lebih kucintai daripada segala apa yang dipancar oleh matahari"

(Yakni: Dari segala matabenda dunia yang dikejar manusia- penterjemah).

Di dalam suatu riwayat lain Nabi s.a.w. telah bercerita, katanya: Pada malam aku diisra'kan (naik ke langit), aku telah bertemu dengan Nabi Ibrahim alaihis-salam, lalu beliau berujar Wahai Mu- hammad! Sampaikan salamku kepada umatmu, dan beritahu mereka bahwasanya syorga itu subur tanahnya, tawar airnya, dan ia penaka bendang dan yang menjadi tanamannya ialah: Subhaanallah Walhamdulillah Walaa Ilaaha Illallah Wallaahu Akbar. Kemudian baginda berkata lagi tentang empat perkataan ini; iaitu: Siapa me- ngucapnya akan ditanamkan baginya tiap-tiap perkataan sebatang pohon, yakni di dalam syorga.

Sekali peristiwa Rasulullah s.a.w. berkata kepada Abu Darda' r.a. ujarnya:

"Ucapkanlak Subhaanallah Walhamdulillah Walaa Ilaaha Illallah Wallaahu Akbar, Walaa Hawta Walaa Quwata Illaa Billaa-hil-Aliyil-Azhiim, kerana ia akan menggugurkan semua dosa seperti gugurnya dedaun dari pohon."

Ketika menerangkan keutamaan ucapan: Laa Hawla Walaa Quwata Illaa Billaahil-Aliyil-Azhiim, baginda pernah bersabda:

“Sesungguhnya ia adalah perbendaharaan dari perbendaharaan-perbendaharaan syorga, dan ia juga adalah penawar bagi sembilanpuluh sembilan penyakit, yang paling ringan di antaranya ialah penyakit murung."

Bersabda Rasulullah s.a.w. lagi:

"Siapa menerima sesuatu nikmat dari Allah Ta'ala, dan ia inginkan nikmat itu kekal, maka hendaklah ia memperbanyak mengucap: Laa Hawla Walaa Quwata Illaa Billaahil-Aliyil-Azhiim."

Di antara zikir-zikir yang utama lagi, ialah zikir Subhaanallahi Wa-bihamdih. Mengenainya Nabi s.a.w. pernah bersabda:

"Bicara yang amat dicintai Allah ialah zikir: Subhaanallahi Wabihamdih."

Rasulullah s.a.w. pernah ditanya: Bicara yang mana paling utama? Jawab baginda: Bicara yang dipilih Allah untuk para MalaikatNya, iaitu: Subhaanallahi Wabihamdih.
Sabda baginda lagi:

"Siapa yang mengucap: Subhaanallahi Wa-bihamdih sekali, akan ditanamkan baginya suatu pohon di syorga. Jika ia mengucapnya seratus kali, dicatitkan baginya seribu kebajikan, dan digugurkan daripadanya seribu kejahatan."

Sabda baginda lagi:

“Siapa mengucap setiap pagi dan petang: Subhaanallahi Wabihamdih seratus kali, niscaya tiada seorang yang datang membawa amal pada Hari Kiamat seperti yang ia membawanya, kecuali jika orang itu mengucap sama seperti apa yang ia ucapkan, atau lebih dari apa yang ia ucapkan."

Sabda baginda lagi:

"Dua kalimat yang ringan di lisan, tetapi berat di timbangan, dan sangat dicintai oleh Tuhan arRahman, iaitu: Subhaanallahi Wa-bihamdih, Subhaanallahil-Azhiim."

Diriwayatkan dari Ummil-Mu'minin, Juwairiyah r.a., bahwasanya Nabi s.a.w. suatu hari keluar dari rumah Juwairiyah, kemudian baginda kembali sesudah selesai sembahyang Dhuha di masjid, sedang Juwairiyah lagi duduk bertasbih.

Maka ujar baginda: Sejak kutinggalkanmu tadi, hingga sekarang, kau masih bertasbih juga. Jawab Juwairiyah: Benar.

Berkata Nabi lagi: Sebenarnya, sejak kutinggalkan kau tadi, aku telah mengucap empat kalimat (3 kali), kiranya empat kalimat itu ditimbang dengan apa yang kau tasbihkan sejak tadi itu, niscaya ia akan lebih berat, iaitu:

"Subhaanallahi Wa-bihamdih, 'Adada Khalqih, Wa-ridhaNaf- sih, Wa-zinata 'Arsyih, Wa-midada Kalimaatih. (Maha Suci Tuhan dengan segala puji bagiNya, sebanyak bilangan makhlukNya, sepenuh ridha ZatNya, seberat timbangan ArasyNya, dan seluas kalimat-kalimatNya)."






Jangan lalai dari berzikir

Jangan lalai dari berzikir

Hendaklah berhati-hati supaya tidak lalai dari berzikir pada setiap masa dan waktu, kerana lalai dari mengingati Allah itu menimbulkan bahaya yang besar

Sabda Rasulullah s.a.w.:

"Barangsiapa yang duduk disuatu tempat, seraya tiada mengingati Tuhan ketika itu, melainkan ia akan merasakan penyesalan."Ada kalanya syaitan turut menguasai manusia yang lalai itu, lalu dihalangnya orang itu dari berzikir kepada Tuhan, disebabkan kelalaian yang telah membelenggui dirinya.

Firman Allah Ta'ala

"Dan siapa yang membelakangi berzikir (mengingat) kepada Tuhan Yang Maha Pemurah, akan Kami jadikan baginya syaitan yang akan menjadi rakan kepadanya."

"Syaitan telah menguasai ke atas diri mereka, sehingga ia melupakan mereka dari mengingati Allah." (al-Mujadalah: 19)

Bagi seorang Mu'min haruslah ia berzikir kepada Tuhan sebanyak-banyaknya, sebagaimana sebaliknya sifat seorang Munafiq tiada berzikir kepada Tuhan melainkan sedikit saja. Allah Ta'ala telah berfirman ketika mensifatkan orang-orang Munafiq, berbunyi:

"Mereka riya' kepada manusia, dan tiada berzikir kepada Allah kecuali sedikit sekali." (an-Nisa': 142)

Dalam melazimkan diri berzikir kepada Allah Ta'ala dan membiasakan amalan zikir itu adalah senjata untuk menghalau syaitan dan mencegah waswasnya, sebagaimana bunyi sebuah riwayat: Sesungguhnya syaitan itu membelit hati manusia, jika ia berzikir kepada Allah syaitan terpukul. Jika ia alpa, syaitan mewaswaskannya lagi

Oleh itu, maka dituntut membiasakan diri dan melazimkannya berzikir kepada Allah Ta'ala pada setiap waktu dan keadaan. Sekali peristiwa pernah seorang lelaki berkata kepada Rasulullah s.a.w.: Duhai Rasulullah! Engkau telah mengajarku banyak dari hukum-hukum Islam. Kini perintahkanlah aku untuk membuat sesuatu yang boleh aku bergantung kepadanya. Jawab baginda: Biasakan lidahmu dengan berzikir kepada Allah.

Kelebihan zikir

Kelebihan zikir

Para ulama rahimahumullah telah menentukan tentang keutamaan berzikir dan kelebihannya dari segala amal saleh yang lain, bahwa zikir itu bisa dikerjakan selalu pada bila-bila masa dan keadaan, kerana waktunya tidak tertentu, malah ia dianjurkan supaya dilakukan terus-menerus. Semua orang bisa berzikir tanpa syarat, termasuk orang yang berhadas kecil atau berhadas besar, orang yang sedang dalam pekerjaan, ataupun sedang lapang dan berihat.

Berbeda dengan lelain ibadat, seperti sembahyang, puasa, dan membaca al-Quran, maka bagi ibadat-ibadat ini ada syarat-syaratnya yang harus dipatuhi, dan waktu-waktunya yang tetap yang mana tiada sah ibadat itu, jika ditunaikan di luar waktu-waktu yang tersebut.Ibadat yang amat utama ialah sembahyang, dan ia dilarang mengerjakannya pada kira-kira sepertiga waktu siang. Iaitu bermula sesudah sembahyang Subuh hingga matahari kelihatan meninggi. Begitu pula sesudah sembahyang Ashar hingga matahari terbenam.

Puasa pula tiada boleh ditunaikan melainkan pada siang hari saja.Manakala membaca al-Quran al-Karim dilarang kepada orang junub, yakni yang berhadas besar, dan tiada dituntut dari orang yang sedang sibuk menguruskan kerja yang hatinya berbelah-bahagi antara membaca dan bekerja. Larangan ini dikenakan disebabkan kehormatan al-Quran dan kebesarannya.

Adapun zikir, maka Allah s.w.t. telah memberikan peluang yang luas untuk dikerjakannya sebagai rahmat dan kurnia utama kepada seluruh hambaNya, padahal ia mudah dibuat dan tidak perlu kepada usaha atau tenaga yang banyak, jika dibandingkan dengan yang lain-lain. Dalam hal ini, zikir itu melebihi amalan-amalan dari segi keutamaannya, meskipun amalan-amalan selain zikir itu mempunyai keutamaan-keutamaan yang tersendiri dari segi yang lain pula.

Antara kelebihan zikir itu, ia mudah dibuat meskipun keutamaannya banyak, dan ia dapat dilakukan secara terus-menerus, sehingga pada tempat-tempat dimana dimakruhkan berzikir dengan lisan, misalnya di tandas atau di waktu berjimak, dibolehkan baginya untuk berzikir dengan hatinya.

Demikianlah menurut para ulama Tauhid, rahimahumullah.
Jelaslah kini, bahwa anda bisa berzikir kepada Allah Ta'ala di mana-mana saja anda berada, ketika di dalam faktori, ketika bertukang, ketika berusaha, ketika mengurus sesuatu urusan dunia, dan sebagainya. Maka lazimkanlah berzikir kepada Allah Ta'ala dengan hati dan lisanmu sekadar yang termampu.


Zikir yang utama

Zikir yang utama

Berkata para ulama rahimahumullah:

Zikir yang utama ialah yang diucap oleh hati dan lisan serentak. Jika dibandingkan antara keduanya, maka berzikir dengan hati tentu lebih utama dari berzikir dengan lisan semata-mata.Sebagai penjelasan, bahwa makna zikir dengan hati itu, hendaklah bentuk zikir disebut yang oleh lisan itu hadir di hati dan turut disebutkan oleh hati juga.

Umpamanya, jika orang yang berzikir itu menyebut di lidahnya: Laa Ilaaha Illallah, demikian pula turut disebut oleh hati. Boleh juga diertikan zikir dengan hati itu, bahwa makna zikir yang disebut oleh lisan itu dihadirkan di dalam hati. Umpamanya, jika seseorang berzikir dengan lisannya: Laa Ilaaha Illallah, maka makna ayat tersebut yang mengertikan Ketuhanan Yang Maha Esa itu dihadirkan di hatinya. Wallahu a'lam.

Berkata Hujjatul-islam Imam Ghazali rahimahullah: Zikir itu terbahagi kepada empat kategori.

(1) Zikir dengan lisan saja.

(2) Zikir dengan hati beserta lisan secara paksa.

(3) Zikir dengan hati yang dibantu dengan lisan tanpa paksa.

(4) Menguasai zikir di dalam hati dan menumpukannya.

Kemudian Imam Ghazali memberikan interpretasinya dengan berkata:

Yang pertama sedikit faedahnya dan lemah kesannya, yakni apabila lisan berzikir sedang hati lalai. Demikianlah komentarnya.Memang benar bahwa berzikir dengan lisan sedang hati itu lalai kurang faedahnya dan manfaatnya, akan tetapi lebih baiklah daripada tidak berzikir samasekali.

Setengah orang bertanya kepada para arif: Kami berzikir kepada Allah, tetapi hati kami tidak hadir. Jawabnya: Bersyukurlah kepada Allah yang telah menjadikan salah satu anggota kamu berzikir kepada Allah, maksudnya lisan.

Sayugialah hendaknya, apabila berzikir dengan lisan itu dihadirkan sekali hati untuk berzikir sama, supaya hati turut berzikir bersama-sama lisan sekaligus. Barangkali, mula-mulanya secara paksa dahulu, sehingga apabila terus dilazimkan selalu, maka kelak hati akan merasa kelazatan berzikir itu, sehingga terpancarlah cahaya menyinarinya. Sesudah itu hati akan hadir dengan sendirinya tanpa paksa atau bantuan lagi. Ada kalanya hati akan terus meningkat kepada keadaan tidak sabar untuk berzikir, dan tidak lagi lengah atau lalai daripadanya.