Friday, May 8, 2015

Kelebihan zikir

Kelebihan zikir

Para ulama rahimahumullah telah menentukan tentang keutamaan berzikir dan kelebihannya dari segala amal saleh yang lain, bahwa zikir itu bisa dikerjakan selalu pada bila-bila masa dan keadaan, kerana waktunya tidak tertentu, malah ia dianjurkan supaya dilakukan terus-menerus. Semua orang bisa berzikir tanpa syarat, termasuk orang yang berhadas kecil atau berhadas besar, orang yang sedang dalam pekerjaan, ataupun sedang lapang dan berihat.

Berbeda dengan lelain ibadat, seperti sembahyang, puasa, dan membaca al-Quran, maka bagi ibadat-ibadat ini ada syarat-syaratnya yang harus dipatuhi, dan waktu-waktunya yang tetap yang mana tiada sah ibadat itu, jika ditunaikan di luar waktu-waktu yang tersebut.Ibadat yang amat utama ialah sembahyang, dan ia dilarang mengerjakannya pada kira-kira sepertiga waktu siang. Iaitu bermula sesudah sembahyang Subuh hingga matahari kelihatan meninggi. Begitu pula sesudah sembahyang Ashar hingga matahari terbenam.

Puasa pula tiada boleh ditunaikan melainkan pada siang hari saja.Manakala membaca al-Quran al-Karim dilarang kepada orang junub, yakni yang berhadas besar, dan tiada dituntut dari orang yang sedang sibuk menguruskan kerja yang hatinya berbelah-bahagi antara membaca dan bekerja. Larangan ini dikenakan disebabkan kehormatan al-Quran dan kebesarannya.

Adapun zikir, maka Allah s.w.t. telah memberikan peluang yang luas untuk dikerjakannya sebagai rahmat dan kurnia utama kepada seluruh hambaNya, padahal ia mudah dibuat dan tidak perlu kepada usaha atau tenaga yang banyak, jika dibandingkan dengan yang lain-lain. Dalam hal ini, zikir itu melebihi amalan-amalan dari segi keutamaannya, meskipun amalan-amalan selain zikir itu mempunyai keutamaan-keutamaan yang tersendiri dari segi yang lain pula.

Antara kelebihan zikir itu, ia mudah dibuat meskipun keutamaannya banyak, dan ia dapat dilakukan secara terus-menerus, sehingga pada tempat-tempat dimana dimakruhkan berzikir dengan lisan, misalnya di tandas atau di waktu berjimak, dibolehkan baginya untuk berzikir dengan hatinya.

Demikianlah menurut para ulama Tauhid, rahimahumullah.
Jelaslah kini, bahwa anda bisa berzikir kepada Allah Ta'ala di mana-mana saja anda berada, ketika di dalam faktori, ketika bertukang, ketika berusaha, ketika mengurus sesuatu urusan dunia, dan sebagainya. Maka lazimkanlah berzikir kepada Allah Ta'ala dengan hati dan lisanmu sekadar yang termampu.


No comments:

Post a Comment