Saturday, May 9, 2015

Keutamaan berkumpul untuk berzikir

Keutamaan berkumpul untuk berzikir

Jika zikir itu diadakan di dalam suatu majlis yang ramai, maka yang demikian itu memang dituntut dan dianjurkan. Tetapi syaratnya sama seperti yang disebutkan di atas tadi. Mestilah disertai ikhlas sepenuhnya kepada Allah Ta'ala, tiada riya', tiada mengganggu orang-orang yang sedang bersembahyang, atau yang sedang membaca al-Quran di sebelah-menyebelah.Di dalam hal ini terdapat banyak Hadis, di antaranya ialah sabda Rasulullah s.a.w.:

"Tiada suatu perkumpulan yang berkumpul di rumah-rumah Allah (masjid-masjid), mereka berzikir kepada Allah Ta'ala dengan mengharapkan keredhaan Allah Ta'ala, melainkan Allah akan mengampunkan segala dosa mereka, dan akan mengubah semua kejahatan mereka menjadi kebaikan."

Sabdanya lagi:

"Tiada sesuatu kaum yang duduk bersama-sama berzikir kepada Allah Ta'ala, melainkan para Malaikat mengelilingi mereka sedang rahmat meliputi mereka, dan ketenangan turun ke atas mereka. Manakala Allah pula menyebut mereka itu kepada sesiapa yang berada di sisiNya."

Sabda baginda lagi:

"Jika kamu melintas pada taman-taman syorga, maka hendaklah kamu berihat. Para sahabat bertanya: Apakah itu taman-taman syorga? Jawab baginda: Kumpulan-kumpulan orang yang berzikir."

Pada riwayat lain, iaitu: Majlis-majlis zikir.
Ada sebuah Hadis yang panjang yang membicarakan tentang majlis-majlis zikir ini. Hadis itu bermula begini: Allah Ta'ala sentiasa mengirim para MalaikatNya yang mengelilingi bumi untuk mengunjungi majlis-majlis zikir. Seterusnya Hadis itu berakhir dengan bunyinya bagini: maka berkata Allah kepada para MalaikatNya: Saksikanlah bahwa Aku telah mengampuni mereka itu (para ahli zikir), dan Aku telah memberikan mereka apa yang mereka pohonkan, dan Aku telah melindungi mereka dari apa yang mereka pohon perlindungan. Sampuk para Malaikat: Di kumpulan itu ada si fulan dan si fulan yang banyak dosanya, ia cuma hampir dan duduk bersama pada ahli zikir itu. Maka Allah menjawab: Mereka itu suatu kumpulan yang tiada seorang pun yang akan celaka bersama mereka. Hadis ini sudah termasyhur.

No comments:

Post a Comment