Friday, May 8, 2015

Jangan lalai dari berzikir

Jangan lalai dari berzikir

Hendaklah berhati-hati supaya tidak lalai dari berzikir pada setiap masa dan waktu, kerana lalai dari mengingati Allah itu menimbulkan bahaya yang besar

Sabda Rasulullah s.a.w.:

"Barangsiapa yang duduk disuatu tempat, seraya tiada mengingati Tuhan ketika itu, melainkan ia akan merasakan penyesalan."Ada kalanya syaitan turut menguasai manusia yang lalai itu, lalu dihalangnya orang itu dari berzikir kepada Tuhan, disebabkan kelalaian yang telah membelenggui dirinya.

Firman Allah Ta'ala

"Dan siapa yang membelakangi berzikir (mengingat) kepada Tuhan Yang Maha Pemurah, akan Kami jadikan baginya syaitan yang akan menjadi rakan kepadanya."

"Syaitan telah menguasai ke atas diri mereka, sehingga ia melupakan mereka dari mengingati Allah." (al-Mujadalah: 19)

Bagi seorang Mu'min haruslah ia berzikir kepada Tuhan sebanyak-banyaknya, sebagaimana sebaliknya sifat seorang Munafiq tiada berzikir kepada Tuhan melainkan sedikit saja. Allah Ta'ala telah berfirman ketika mensifatkan orang-orang Munafiq, berbunyi:

"Mereka riya' kepada manusia, dan tiada berzikir kepada Allah kecuali sedikit sekali." (an-Nisa': 142)

Dalam melazimkan diri berzikir kepada Allah Ta'ala dan membiasakan amalan zikir itu adalah senjata untuk menghalau syaitan dan mencegah waswasnya, sebagaimana bunyi sebuah riwayat: Sesungguhnya syaitan itu membelit hati manusia, jika ia berzikir kepada Allah syaitan terpukul. Jika ia alpa, syaitan mewaswaskannya lagi

Oleh itu, maka dituntut membiasakan diri dan melazimkannya berzikir kepada Allah Ta'ala pada setiap waktu dan keadaan. Sekali peristiwa pernah seorang lelaki berkata kepada Rasulullah s.a.w.: Duhai Rasulullah! Engkau telah mengajarku banyak dari hukum-hukum Islam. Kini perintahkanlah aku untuk membuat sesuatu yang boleh aku bergantung kepadanya. Jawab baginda: Biasakan lidahmu dengan berzikir kepada Allah.

No comments:

Post a Comment